Sikap lemah lembut akhlak terpuji
Kelembutan hati yang
ada pada diri manusia itu bertujuan untuk memperindahkan akhlaknya.
Lembut tidak bererti
kita lemah. Lihat pada sifat air yang lembut, ia mampu memadamkan api.
Malah, air yang lembut
juga boleh menjadi tsunami yang dahsyat sehingga menghancurkan serta merosakkan
satu kawasan atau negeri.
Maka, orang bersikap
lemah lembut dan mampu mengendalikan diri daripada nafsu marah, melakukan
kekasaran serta kezaliman terhadap orang lain adalah individu yang sangat
hebat.
Sama juga halnya dalam
kehidupan sebuah keluarga. Ibu bapa yang bersikap emosional dan mudah marah
termasuk dalam golongan yang lemah kerana gagal mengawal diri.
Manusia memang mudah
berasa tersinggung dan tidak berpuas hati. Namun, paling penting adalah
berusaha mengendalikan diri supaya tidak melakukan perbuatan buruk.
Sebab itu, antara
sifat yang melengkapkan kesempurnaan zat, kemuliaan serta keperibadian akhlak
Nabi Muhammad SAW adalah sifat lemah- lembut yang ada dalam diri Baginda.
Istilah lemah-lembut
itu adalah akhlak Nabi SAW ketika menghadapi kerenah manusia yang kufur,
syirik, munafik, benci dan pelbagai lagi tindak balas terhadap Baginda SAW.
Baginda akan
menghadapinya dengan lemah- lembut iaitu dia bersabar atas setiap kerenah dan
kejahatan orang yang tidak suka kepada Baginda.
Ibnu Abbas
meriwayatkan, Rasulullah SAW pernah berkata kepada al-Asyjij: “Kamu mempunyai
dua sifat yang membuat Allah SWT dan rasul-Nya suka: Lemah-lembut dan murah
hati.” (Riwayat Muslim)
Cuba kita lihat orang
yang sedang marah, bagaimana wajah dan suaranya ketika bercakap? Mukanya,
suaranya tersangkut-sangkut sehingga menyebabkan tingkah lakunya menjadi
semakin tidak terkawal.
Allah SWT berfirman
yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan
syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang
yang bertakwa iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah,
orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan
(ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang
baik.” (Surah Ali Imran, ayat 133-134)
Allah SWT
memerintahkan hamba-Nya menjadi orang yang mudah memaafkan dan berlapang hati.
Itu persiapan yang luar biasa kerana manusia sentiasa berurusan dengan pelbagai
tabiat manusia.
Dalam sejarah,
terdapat banyak peristiwa mempamerkan sikap lembut Rasulullah SAW. Antaranya,
Rasulullah SAW memaafkan pembunuh bapa saudaranya, Hamzah bin Abdul Mutalib.
Hamzah dibunuh oleh
Wahsyi bin Harb ketika Perang Uhud. Beberapa tahun selepas itu, Rasulullah SAW
berjaya menguasai Kota Makkah, Wahsyi melarikan diri ke Thaif.
Ramai penduduk Thaif
ketika itu memeluk Islam atas pengaruh Baginda yang cukup hebat dan kuat.
Perkembangan itu
menyebabkan Wahsyi berasa bimbang sehingga dia merancang untuk pergi ke Syam,
Yaman dan negeri lain.
Bagaimanapun, belum
sempat dia berbuat demikian, ada orang menyatakan Rasulullah SAW tidak akan
membunuh orang yang memeluk Islam.
Mendengar perkara itu,
Wahsyi merasa tenang dan mengambil keputusan menghadap Rasulullah di Madinah.
Wahsyi mengucap
syahadah di hadapan Rasulullah SAW. Baginda kemudian memintanya menceritakan
bagaimana dia membunuh Hamzah.
Selepas selesai
menceritakan semuanya, Baginda menyuruh Wahsyi pergi. Dalam sirah menyatakan,
Wahsyi selalu bersembunyi supaya Baginda tidak melihatnya.
Jelas kepada kita
keistimewaan yang ada pada diri Rasulullah SAW walaupun Wahsyi membunuh bapa
saudaranya dengan begitu kejam sekali.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 9:13 AM
No comments
Post a Comment