[ ]

Thursday, November 5, 2009

MENERIMA KUNJUNGAN TUAN SETIAUSAHA LMM

Pada hari ini Maktab Mahmud Merbok menerima kunjungan tidak rasmi dari Tuan Haji Syed Isa bin Syed Ibrahim, AMK.,BCK. Iaitu Setiausaha Lembaga Maktab Mahmud yang baru. Pihak sekolah amat berbesar hati dan mengalu-alukan kedatangan beliau. Ini adalah kunjungan pertama beliau ke Maktab Mahmud Merbok selepas dilantik ke jawatan tersebut.
Tuan Setuausaha sedang serius mendengar penerangan dari Pen. Kanan Hem, Us.Yahya bin Harun

Beliau telah dibawa untuk meninjau beberapa lokasi di sekitar MMMK seperti asrama, bangunan sekolah, surau, kantin dan sebagainya oleh Pen. Kanan Akademik dan Pen. Kanan HEM (untuk rekod: Tuan Pengetua sedang berkursus di Genting Highland ). Beliau juga diberi sedikit penerangan tidak rasmi serba sedikt tentang latarbelakang sekolah.

Pihak MMMK mengucapkan Jutaan terima kasih diatas kunjungan Tuan Setiausaha Lembaga Maktab Mahmud.....

[Baca Seterusnya]

PENGURUSAN KO-KURIKULUM PERINGKAT SEKOLAH


Musim peperiksaan bagi pelajar tingkatan 1, 2, 3 dan 4 telah berlalu. Ruang masa yang ada sebelum cuti sekolah telah dirancang oleh pihak sekolah dengan pelbagai aktiviti terutama yang berkaitan dengan kokurikulum. Pada hari ini pihak sekolah telah mengadakan ceramah mengenai Pengurusan Kokurikulum (peringkat sekolah) oleh guru yang berkenaan.

Pelajar didedahkan tentang kepentingan kokurikulum terhadap sistem persekolahan masa kini. Selain itu merekan didedahkan dengan teknik-teknik menyediakan kertas kerja dan pelaporan bagi setiap bidang kokurikulum masing-masing. Ini penting bagi persediaan untuk memantapkan aktiviti persatuan dan badan kokurikulum masing masing di tahun hadapan.

[Baca Seterusnya]

Wednesday, November 4, 2009

PEPERIKSAAN OH PEPERIKSAAN

“Macam mana ni,peperiksaan dah dekat sangat. Ana tak habis ulangkaji lagi.. Habislah ana.. mesti tak dapat jawab. Gagallah ana nanti..”

“Peperiksaan?... ala.. Janganlah cakap tentang hal ni.. saya takut..”

“Mestilah belum bersedia.. Aku rasa kalau aku cuba sedaya upaya pun, aku tahu, tak akan sempat aku habiskan ulangkaji semua subjek tu…”


Inilah luahan-luahan yang sering dan mungkin selalu kita dengar apabila menjelangnya peperiksaan. Apabila menjelang peperiksaan, hati semakin berdebar-debar.

Tahap kerisaun mula meningkat. Pemikiran pun mulalah memikirkan pelbagai perkara-perkara negatif yang mungkin akan terjadi. Pemikiran itu kemudiannya pula ditafsirkan oleh otak dan diubah kepada gambaran-gambaran.

Ana, yang juga merupakan salah seorang mahasisiwi amat memahami keadaan yang digambarkan di atas dan turut jua melaluinya.

Peperiksaan adalah lumrah kehidupan. Kita sememangnya tidak dapat melarikan dirinya. Walau apapun jua, jika kita masih lagi memegang “title” sebagai seorang pelajar atau mahasiswa,mahasisiwi, peperiksaan itu memang tidak dapat dielakkan.

Ya,benar, kita tidak dapat lari darinya, tetapi, tidak mustahil kita tidak dapat mencuba untuk menghadapinya dengan sebaik-baik kemampuan kita. Peperiksaan bukanlah sebuah beban.

Peperiksaan merupakan kayu ukur untuk mengukur sejauh mana tahap pemahaman kita akan sesuatu perkara yang sudah dipelajari.

“Demi masa,sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”
( surah Al-Asr: 1-3)


Masa itu ibarat pedang, sekiranya kita tidak mencatasnya, ia pula akan memotong kita. Masa ibarat senjata tajam yang bernilai apabila dimanfaatkan dengan sebaiknya, tetapi sebaliknya akan berlaku sekiranya masa dibazirkan begitu sahaja.

Menurut teori as-Syahid Imam Hasan Al-Banna, masa merupakan kehidupan. Sesiapa yang mengisikan masa dengan hal-hal yang tidak berfaedah, maka dia telah membuang kehidupannya. Hidupnya seperti tiada erti dan nilai.

Masa kian suntuk. Peperiksaan semakin hampir. Bagaimana kita hendak menghadapinya? Salah satu cara yang boleh dilakukan untuk kita mencuba melakukan yang terbaik dalam peperiksaan adalah dengan menggunakan masa yang singkat itu untuk melakukan ulang kaji pantas.

Berikut adalah langkah-langkahnya:

1. Semak bahagian yang sukar. Fahami dan kuasai topik tersebut. Buat latihan yang berkaitan dengan subjek tersebut dan semak jawapannya. Lihat dan fahami rangka jawapan yang diberi

2. Bagi topik yang mudah, bukanlah perlulah diabaikan. Tetapi, buat banyak latihan dengan pantas. Ini dapat menambahkan keyakinan pada hari peperiksaan itu nanti

3. Ulang kaji kembali nota-nota ringkas yang dibuat sebelum ini. Jangan baca nota yang panjang lebar. Ini dapat mengelakkan perasaan panik apabila melihat isi kandungan yang banyak yang perlu dibaca

4. Jangan terlalu bimbang atau resah. Teruskan mengulangkaji dengan kaedah yang betul. Selain mengulangkaji pelajaran, masa yang masih lagi ada itu, haruslah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyiapkan diri dari segi fizikal,emosi, mental dan rohani.

Persiapan fizikal termasuklah dengan mengambil makanan yang seimbang dan mengikut waktu makan yang betul. Hal ini dapat menjaga kesihatan dan turut memberi tenaga dan stamina kepada badan untuk terus mengulangkaji pelajaran. Aktiviti-aktiviti riadah juga tidak patut diabaikan.

Dari segi mental pula, fikirkan yang positif dan yakin pada diri. Percaya bahawa kita telah berusaha dan kita yakin untuk menghadapinya. Fokuskan diri pada apa yang diinginkan dan buang perasaan risau dan resah. Elakkan daripada memikirkan perkara negatif yang dapat terjadi.

Emosi turut juga terganggu apabila menjelang peperiksaan. Maka emosi kita turut juga perlu disiap sediakan untuk bertempur di medan peperiksaan nanti. Kawallah emosi dan cuba elakkan daripada melibatkan diri dengan konflik-konflik yang dapat menjejaskan “mood” belajar kita.

Muhasabahlah diri selalu dan fikirkan setiap kejadian ada hikmahnya. Dekatkan diri kepada-Nya dengan amalan-amalan solat-solat sunat, dan membaca Al-Quran.

Sesunggunhnya Allah mengatakan hanya dengan mengingati Allah hati akan tenang. Dari segi rohani adalah dengan memperkukuhkan lagi hubungan kita dengan Maha Pencipta.

Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Maka berhubunglah dengan-Nya dan panjatkanlah doa kepada-Nya dengan seikhlas-ikhlas hati dan serendah-rendah diri ini sebagai hambanya.
Berdoalah agar dipermudahkan urusan dunia dan akhirat.

Seelok-eloknya, sebelum mula ulangkaji, maka lakukanlah ibadat solat taubat dan hajat, pinta moga mudah memahami dan mengingati pelajaran tersebut. Selain itu, pohonlah restu dari ibubapa dan guru.

Jangan melukai hati mereka. Percayalah wahai pejuang di medan pertempuran peperiksaan, kerja yang dilakukan hari ini akan menyelamatkan kita hari esok. Tiada yang dilakukan di dunia ini sia-sia kecuali perkara yang sia-sia itu sendiri.

Maka gunalah masa yang suntuk ini dengan sebaik-baiknya. Jadilah seorang penuntut ilmu yang cekal hatinya, yang teguh pendirian dan azamnya, yang tidak mudah dipatahkan dengan cabaran yang menimpa. Jadilah seoarng penuntut ilmu yang patuh dan tunduk kepada Yang Maha Pencipta, yang mempercayai dengan sebulat keyakinan akan kekuasaan Azza Wa Jalla yang menentukan segala-galanya.

Usahlah resah dan gelisah, tetapi bangkitlah, wahai mujahidin, mujahidah. Janganlah gentar dalam berjihad menuntut ilmu dalam mencari keredhaan-Nya. Study itu jihad. Selamat berjaya dalam peperiksaan.
www.iluvislam.com/
Oleh : NJ maniac


[Baca Seterusnya]

Friday, October 30, 2009

MERIT BARU SYARAT MASUK IPTA

Mulai tahun depan, pengiraan merit untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi pelajar lepasan SPM 2009 dan setaraf akan menggunakan penggredan baru.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi berkata, perubahan itu selaras dengan sistem penggredan baru Kementerian Pelajaran yang memperkenalkan peringkat kelulusan A untuk pelajar SPM 2009 berbanding gred 1A sebelum ini.

"Sistem ini diperkenalkan untuk memilih yang terbaik di kalangan terbaik bagi memasuki IPTA supaya ada perbezaan contohnya antara A+ dengan A dengan A-,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Melalui sistem baru itu, pelajar yang mendapat A akan dikategorikan kepada A+, A dan A- dengan merit masing-masing 18, 16 dan 14, katanya.

Beliau berkata, gred 3B ditukar kepada B dengan merit 12, 4B kepada B(10), 5C kepada C (lapan), 6C kepada C (enam), 7D kepada D (empat), 8E kepada E (dua) dan 9G kepada G dengan merit sifar.

Bagaimanapun Dr Radin Umar berkata, kaedah baru itu akan mengambil kira syarat khas kemasukan program pengajian seperti gred 6C (kepujian) sebelum ini, tarafnya tidak akan diturunkan ke gred lebih rendah. BERNAMA

[Baca Seterusnya]

Thursday, October 29, 2009

BERMATLAMAT TANGGA KEJAYAAN

Kajian di institusi pengajian tinggi menunjukkan 80% pelajar tidak bermatlamat dan ini adalah punca utama pelajar melayu gagal bersaing. Menyedihkan tetapi itulah hakikatnya.

Matlamat memudahkan perancangan.

Sekiranya anda ada matlamat, maknanya anda telahpun menetapkan apa yang mahu dicapai dalam suatu tempoh yang tertentu. Ini pastinya memudahkan lagi untuk anda merancang tugas anda setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan. Matlamat meningkatkan komitmen diri. Secara tidak langsung apabila anda punya matlamat maka anda merasakan suatu komitmen perlu diambil untuk memenuhinya. Sebab sekiranya anda terlalai untuk mengikut setiap perancangan yang telah dijadualkan bermakna anda menggadai masa depan anda sendiri. Mata pelajaran Sains seperti di atas tidak mungkin dapat dihabiskan hanya sekiranya anda meletakkan komitmen untuk mengikut jadual harian anda sendiri. Ingatlah, manusia yang berjaya ialah manusia yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap senarai tugas atau perancangan hariannya!!!

Matlamat membantu anda membuat keputusan.

Dalam kehidupan seharian anda pasti menyedari betapa sukarnya untuk mendisiplinkan diri mengikut jadual harian anda. Malah mereka yang mampu mengikut jadual harian jumlahnya terlalu kecil, hanya sekitar 5% sahaja. Yang lain, sama ada langsung tidak mempunyai jadual harian atau ada jadual tetapi sekadar hiasan dinding dan tidak pernah diikuti. Kenapa ini berlaku?

Jawapannya ialah sebab kita bukannya robot dan bukannya mesin yang boleh dijadualkan untuk berfungsi mengikut masa-masa yang ditetapkan setiap hari. Sebagai manusia kita tertakluk kepada begitu banyak faktor-faktor luar jangka. Tetapi dengan adanya matlamat anda pada bila-bila masa boleh mengubah perancangan harian anda asalkan ia tidak meninggalkan kesan atas perancangan jangka panjang anda. Anda boleh tidak belajar mengikut masa yang ditetapkan tetapi anda perlu ganti semula dan belajar pada waktu yang lain. Yang penting belajar tetap belajar. Yang penting setiap tajuk perlu dihabiskan dalam masa satu minggu seperti perancangan asalnya. Be flexible!!

Matlamat membantu anda mendapatkan pertolongan.

Apabila anda mempunyai matlamat, anda mula mengatur perancangan. Apabila anda bertindak melengkapkan perancangan, anda mula menyedari dan mengenali kelemahan-kelemahan yang ada pada diri anda. Ini memudahkan anda mendapatkan pertolongan. Anda mungkin perlu berjumpa pensyarah setelah mengetahui ada bahagian-bahagian tertentu dalam sesuatu mata pelajaran yang tidak anda fahami. Anda mungkin bertemu rakan-rakan dan berbincang dengan mereka. Ingat tidak ada rakan yang mahu membantu anda disaat-saat akhir kerana mereka sendiri sibuk menelaah pelajaran untuk menghadapi peperiksaan.

Matlamat pengukur kejayaan.

Matlamat tidak akan tercapai dengan angan-angan atau impian kosong. Ia perlu disusuli dengan tindakan. Kejayaan besar yang diimpikan esok hari ialah himpunan kejayaan-kejayaan kecil yang diraih setiap hari. Bagaimana anda tahu bahawa anda telah berjaya? Pengukur kepada kejayaan ialah matlamat yang telah dirancang. Sekiranya anda telah melakukan tindakan dan menyelesaikan tugas seperti yang dirancang maka anda dikatakan sebagai berjaya. Hari demi hari tanpa anda sedari anda mendaki puncak kejayaan yang lebih besar dan lebih bermakna.
Jadi pastikan sekarang bahawa matlamat anda tidak terlalu kecil sehingga ia tidak bermakna, dan tidak pula terlalu besar hinggakan anda rasakan mustahil untuk mencapainya. Tetapkan satu matlamat yang anda begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya.

Sumber: http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1987

Mutiara kata:- “Bukanlah tuan gurumu itu seorang yang hanya kamu mendengar daripadanya, tetapi tuan gurumu yang sebenar ialah yang mana kamu telah mengambil ilmu daripada pengamalannya…” (Imam Ghazali)

[Baca Seterusnya]

Tuesday, October 20, 2009

PELAJAR PENGANUT HINDU CEMERLANG PENGAJIAN ISLAM


Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.Itulah semangat yang dipegang oleh salah seorang penerima Anugerah Khas Presiden sempena Konvokesyen Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) Terengganu, J. Deivee (gambar) dalam mengikuti kursus Diploma Psikologi.

Gadis berusia 21 tahun itu bukan sahaja cemerlang dalam mata pelajaran asas kursus tersebut malah mata pelajaran melibatkan agama Islam termasuk Penghantar Akidah, Pengajian Islam, Fiqh Ibadat dan Bahasa Arab.


Deivee yang merupakan penganut Hindu bersama 240 lagi pelajar menerima Diploma Psikologi masing-masing pada majlis konvokesyen itu yang diadakan di Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein menyampaikan sijil kepada graduan.

Deivee berkata, dia pada mulanya tidak mengetahui diwajibkan untuk mengambil mata pelajaran berkaitan agama Islam ketika mendaftar di kolej tersebut.

''Namun, kerana ingin mencuba sesuatu yang baru, saya mengambil keputusan untuk terus mengikuti kursus ini.

''Minat juga mendorong saya berusaha keras untuk berjaya,'' katanya ketika ditemui.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia berjaya mencapai kejayaan itu atas galakan dan dorongan yang diberikan oleh ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan.

''Untuk mata pelajaran berkaitan agama Islam, saya mempelajarinya seperti saya belajar mata pelajaran Sejarah iaitu dengan cara menghafal.

''Saya selalu belajar bersama rakan-rakan. Semasa peperiksaan dekat, mereka memberi saya buku dan menyuruh saya tulis dan hafal,'' katanya yang memperoleh 3.6 Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA).

Anugerah dan kejayaan itu menjadikan sambutan Deepavali kali ini paling bermakna buatnya dan keluarga.

''Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua terutama rakan-rakan yang banyak membantu saya dalam mencapai kejayaan ini,'' katanya.

[Baca Seterusnya]

Wednesday, October 14, 2009

86 PELAJAR CEMERLANG BELAJAR DI AL-AZHAR, MESIR

Seramai 86 orang pelajar cemerlang telah terpilih mengikuti pengajian dalam bidang perubatan dan pergigian di Universiti Al-Azhar, Mesir bagi sesi pengajian 2009/2010.

Mereka terdiri daripada 24 pelajar lelaki dan 62 perempuan ditaja oleh Yayasan Generasi Gemilang (Y2G) dengan setiap seorang menelan belanja RM240,000.

Pengerusi Y2G, Datuk Hisham Abd. Majid berkata, program penghantaran pelajar itu adalah usaha berterusan yayasan tersebut untuk melahirkan generasi yang berkebolehan.

Beliau berkata, program yang bermula sejak 2006 itu kini memperlihatkan perkembangan positif dan para pelajar digalakkan menghafal dan memahami al-Quran dengan baik.

''Faktor utama program ini diwujudkan ialah bagi mempersiapkan generasi pelapis negara dengan ilmu pengetahuan serta kemampuan menguasai dan menghafal al-Quran.

''Y2G ditubuhkan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memberikan fokus kepada kemampuan dan kecemerlangan pelajar supaya dapat menabur bakti kepada masyarakat dan negara apabila pulang nanti,'' katanya.

[Baca Seterusnya]

Sunday, October 4, 2009

SURAT TERBUKA DARI IBU

Duhai anakku sayang...
Sentiasa ibu doakan anakku sentiasa dirahmati Allah, sentiasa dimantapkan iman dan amal. Biar siapapun yang didampingimu, hendaknya sahabat yang sentiasa membimbing serta dibimbing olehmu. Biar apapun risalah yang anakku baca, hendaklah segalanya menjurus ke arah takwa. Semoga segala tindaktandus dan tutur kata yang terlontar dari bibir mongelmu adalah buah iman yang terbenih dari nuranimu yang suci. Anakku, janganlah dalam kesibukan urusan duniawi, anakku terlupa tadarus Quran kerana ianya ubat segala penyakit hati. Janganlah lupa mathurat kerana ia senjata jihadmu, jangan lupa dhuha kerana ialah punca kekuatan tenaga zahir dan batinmu tika menuntut ilmu, di sana ada kunci kecemerlanganmu..Imam Syafei berpesan;
"Sesungguhnya ilmu itu cahaya dan cahaya Allah itu tidak dikurniakan kepada orang yang melakukan dosa dan maksiat"

Anakku yang dirindui...
Ibu tahu anakku kebelakangan ini sangat sibuk lantaran bahang peperiksaan kian menjelma. Namun jangan lupa makan minummu kena jaga, lesumu perlu ada rehat, tidurmu perlu berkualiti. Sakit rebah anakku nanti boleh jejaskan persediaan menghadapi peperiksaan penting untuk dirimu. Jagalah tuturkatamu, ingat pesan Rasulullah dalam sabda Baginda yang bermaksud;
"Sucikanlah hati kamu dengan banyak diam, menyedikitkan makan serta minum, nanti kamu akan memperoleh kesucian ilmu (ilmu hakiki), ketinggian (jiwa) dan takut pada Allah Taala"

Anakku yang sentiasa dihati....

Semalam ibu mendengar bicara mu ditalian. Biarpun dikau sentiasa menafikan segala resah yang terbungkam, kepenatan yang mencuri suara ceriamu. Anakku sayang, ini ibumu. Barangkali insan lain bole kau sembunyikan segala, tapi ibu ini telah bersamamu sekian lama. Sejak dalam kandungan , ibu telah merasakan denyut nadimu yang sentiasa bersemangat, besarmu dalam inangan ibu. Senyum tangismu ibu dapat menelah dari nada suaramu. Ibu tahu, anak ibu dilanda resah gundah dalam kekalutan mengejar sebuah kejayaan...Subhanallah!

Anakku, ibu tahu kau sentiasa ingin dihadapan. Ibu yakin anugerah Allah pasti tiba untuk anakku yang sentiasa menjaga syariat dan batasan-Nya. Cuma dalam kegairahan anaku memburu cemerlang, pahatkan niat dan manhaj utama menuntut ilmu terdahulu. Jika keikhlasan mencari ilmu telah anakku penuhi, kecemerlangan itu akan datang padamu, insyaAllah...lihatlah betapa hebatnya ilmu tokoh ulama terdahulu seperti imam Ghazali, Imam Sayuti, Imam Syafie dan ramai tokoh ulamak tersohor. Keikhlasan dan kesungguhan menuntut ilmu mereka dianugerahkan Allah dengan kepakaran yang diikhtiraf seluruh dunia. Allahu Akhbar! Sesungguhnya Allah menyanjung tinggi dan meletakan kemuliaan bagi mereka yang sentiasa mencari ilmu.. hayati firman Allah dalam surah al-Fathir:28 yang bermaksud;
"Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah yang bertakwa kepada-Nya ialah ulamak (mereka yang berilmu) dan sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi lagi Maha Pengampun"

Semoga anak ibu sentiasa betulkan niat serta ikhlaskan diri dalam menuntut ilmu..InsyaAllah.

Akhir bicara, anakku...titipkan salam buat warga tenaga pengajarmu di MMMK. salam silaturrahim ibu untuk mereka yang sentiasa mencurahkan ilmu kepada anak kesayangan ibu ini. Allah membalasnya dengan anugerah keberkatan dan kesejahteraan hidup mereka dan keluarga mereka dunia akhirat.

Salam rindu dari ayah dan adik-adik yang sentiasa menunggu kepulanganmu bersama kejayaan dengan penuh sabar....

Dari Ibumu....

[Baca Seterusnya]

RENUNGAN BERSAMA

Semulia-mulia manusia ialah orang yang mempunyai adab yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaaf ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat. -[Khalifah Abdul Malik Marwan]
Hidup Ini Adalah Keyakinan Dan Perjuangan, dan Perjuangan Mukmin Yang Sejati Tidak Akan Berhenti Kecuali Kedua Tapak Kakinya Telah Memijak Pintu Syurga... -[ Imam Ahmad bin Hanbal]
"Janganlah engkau berputus asa kerana putus asa itu bukanlah akhlak seorang muslim. Ketahuilah bahawa kenyataan hari ini adalah mimpi hari kelmarin dan impian hari ini adalah kenyataan hari esok" -[Imam Hassan Al Banna]

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP