Header Ads

Camera slideshow provides many options to customize your project as more as possible
It uses a light version of jQuery mobile, navigate the slides by swiping with your fingers
It's completely free (even though a donation is appreciated)
Camera slideshow provides many options to customize your project as more as possible
Camera slideshow provides many options to customize your project as more as possible
It supports captions, HTML elements and videos.

WAJAR TAHU BAHASA ARAB



Baru-baru ini, ada individu Muslim mengutarakan pandangan peribadi nya mengenai bahasa Arab. Menurutnya, bahasa Arab tidak mempunyai nilai sebagai bahasa ilmu kecuali yang berkaitan bidang agama.
Beliau secara terang-terangan menyatakan bahasa Arab terbantut kemajuannya dalam bidang ilmu dan profesional.
Pandangan individu itu perlu diperbetulkan supaya masyarakat khususnya umat Islam tidak terpengaruh dengan pandangannya yang tidak benar itu.Bahasa Arab mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam. Ia dipilih menjadi bahasa pengantara bagi membawa mesej Islam.

Selain itu, semua amal ibadat tidak terlepas daripada penggunaan bahasa Arab, malah menjadi syarat sesuatu ibadat itu diterima seperti solat dan haji.
Al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang diturunkan dalam bahasa Arab. Pemilihan bahasa Arab dilihat sebagai satu pengiktirafan besar kerana ia membantu ilmuwan memahami dan menjelaskan maksud suruhan dan tegahan daripada Allah SWT.
Tuntutan mempelajari bahasa Arab tidak hanya yang menjurus kepada tujuan akademik, malah ia menjadi satu keperluan bagi masyarakat awam beragama Islam.
Allah SWT menjelaskan pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.” (Surah Yusuf, ayat 2)
Dalam ayat lain, Allah berfirman yang maksudnya: “Dan demikianlah Kami menurunkan al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab.” (Surah al-Ra’d, ayat 37)
Bahasa Arab bukan sesuatu yang janggal dalam kehidupan masyarakat Melayu. Jika disoroti sejarah perkembangan bahasa Arab, ia mula masuk ke alam Melayu sejak kurun pertama Hijrah iaitu selaras dengan penerimaan masyarakat Melayu terhadap Islam.
Proses penyebaran Islam oleh pedagang Arab banyak mengubah kehidupan masyarakat Melayu ketika itu meliputi aspek kepercayaan, ekonomi, perundangan, pendidikan, kebudayaan dan kemasyarakatan.
Perubahan itu turut membabitkan proses pembelajaran bahasa Arab. Ia berkembang secara aktif sebagai bahasa kepada agama Islam dan bahasa untuk memahami Islam dan menunaikan ibadat.
Selain itu, pengaruh bahasa Arab memartabatkan bahasa Melayu sehingga mencapai status bahasa ilmu.
Antara pengaruh terbesar bahasa Arab dalam bahasa Melayu ialah peminjaman kosa kata Arab yang seterusnya diterima pakai dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu.
Perkataan seperti doa, wali, ajal, hidayah, takwim, tarikh, insan, jasad, arif, zikir, akad, fakir, fitnah, karib, kerabat, maaf, maruah, musafir, sedekah, tahniah, takziah, umat, waris, ziarah, adat, darjat dan ghaib adalah perkataan berasal daripada bahasa Arab.
Proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab terus mengalami perkembangan positif di Tanah Melayu bermula dari institusi pondok dan madrasah pada abad ke-18 Masihi.
Proses perkembangan yang amat baik itu terus berlangsung sehingga kini. Pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab sudah bermula seawal sekolah rendah lagi.
Bagi peringkat tinggi, banyak institusi pengajian tinggi awam menawarkan program pengajian bahasa Arab.
Bagi masyarakat awam beragama Islam, pembelajaran bahasa Arab menjadi satu keperluan bagi memperbaiki mutu ibadat yang dilakukan.
Apabila menguasai bahasa itu, setiap bacaan dalam solat akan mudah difahami. Keseluruhan ibadat solat adalah satu doa permohonan kita kepada Allah SWT.
Kita perlu faham apa yang kita hajat dan doakan. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa saja ragu-ragu terhadap penerimaan Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa daripada jantung hati yang lalai dan alpa.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi)
Usaha pihak yang cuba menyempitkan bahasa Arab hanya membabitkan bidang ilmu agama semata-mata perlu diperbetulkan.
Lihatlah cendekiawan Islam seperti Ibn Rushd, Ibn Sina, Ibn Khaldun, Ibn Bajjah, al-Zahrawi, Ibn al-Nafis, Jabir bin Hayyan, al-Khawarizmi, al-Mas’udi dan lain-lain meneroka pelbagai bidang ilmu tanpa meninggalkan sumber al-Quran dan al-Hadis.
Karya mereka yang ditulis dalam bahasa Arab perlu diterokai bagi merungkai bidang ilmu yang dikaji termasuk bidang sains, sejarah, falsafah, undang-undang, perubatan, keagamaan, kesusasteraan dan sebagainya.
Justeru, pandangan jumud sesetengah pihak mengenai bahasa Arab perlu diperbetulkan bagi mengelak masyarakat terpengaruh dengan pandangan sempit dan merugikan.
Pendidikan bahasa Arab perlu terus diperkasakan di Malaysia bagi melahirkan lebih ramai sarjana dan cendekiawan Islam.
Siapa lagi yang perlu diharapkan untuk memperjuangkan pendidikan bahasa Arab melainkan kita semua yang menyayangi Islam dan bahasa agama ini.
Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Sumber : https://www.hmetro.com.my/addin/2018/07/358285/wajar-tahu-bahasa-arab

No comments

Powered by Blogger.