السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ/Selamat Datang ke Blog Rasmi MMMK

Keazaman membina kekuatan

Thursday, January 21, 20100 comments

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
KEAZAMAN merupakan satu kehendak dalaman ke arah mencapai sesuatu yang diingini. Walaupun ia kelihatan mudah dan kebanyakan pelajar sudah mempunyai keazaman tetapi kemungkinan ia hanya sekadar terpendam di lubuk hati tanpa menjadikannya satu realiti.

Kenapa perlunya ada keazaman di dalam diri kita? Apabila seseorang itu berazam ia sebenarnya sedang melalui proses pengumpulan tenaga yang akan membina kekuatan dalaman. Kekuatan dalaman inilah yang dipanggil semangat yang akan menjadi pendorong dan penggerak tindakan yang dijelmakan melalui kekuatan fizikal.

Sebagai contoh apabila kita berazam mendapatkan sesuatu yang menarik, kekuatan yang ada pada diri kita itu menjadikan kita seolah-olah tidak sabar lagi untuk mendapatkannya. Kemungkinan semalaman kita tidak boleh tidur memikirkannya walaupun sebelum dari itu diri kita cepat mengatuk serta tidur lebih awal. Inilah yang dikatakan tenaga dalaman yang mampu membina kekuatan kepada minda dan anggota fizikal. Ini bermakna seseorang yang kelihatan lemah, tidak berminat untuk belajar, kerap bosan adalah orang yang lemah dari segi kekuatan dalaman yang tidak mampu menggerakkan anggota fizikalnya untuk bertindak. Mereka ini sudah pasti tidak mempunyai matlamat, cita-cita serta tidak ada keazaman diri.


Setiap keazaman perlulah disusuli dengan tindakan agar dapat dimanfaatkan pada diri kita. Untuk mengelakkan keazaman menjadi hanya seperti angan-angan Mat Jenin, maka keazaman itu haruslah mempunyai beberapa ciri berikut:-

Penumpuan keazaman: Keazaman seharusnya ditumpu pada sesuatu yang spesifik. Tanya diri kita apa yang kita ingini pada tahun ini secara jelas dan terperinci sehingga kita faham hala tuju keazaman kita. Elakkan keazaman yang bersifat samar-samar atau yang tidak menentu iaitu yang sentiasa berubah-ubah kerana ini akan menyukarkan perlaksanaannya nanti.

Boleh dilaksanakan: Biarlah keazaman itu tidak mustahil dilakukan. Oleh itu keazaman yang kita ingini itu perlulah sepadan dengan kemampuan serta dapat dilaksanakan secara progresif.

Mempunyai perancangan: Perancangan adalah penting kerana ia menjadi penggerak tindakan yang akan dilakukan. Perancangan boleh berbentuk jadual pengurusan masa perlaksanaan, sumber atau coretan refleksi yang mencatatkan tahap pencapaian atau kemajuan tindakan yang dilakukan dari semasa ke semasa.

Disiplin diri: Kesabaran, pengorbanan dan ketelusan merupakan aspek disiplin diri yang harus diaplikasikan dalam kehidupan kita terutamannya dalam melaksanakan segala keazaman yang kita ingin dicapai. Segala bentuk amalan yang menimbulkan keselesaan dan keseronokan sehingga menjejas keazaman kita haruslah dikorbankan. Ketekalan dalam melaksana secara berterusan serta kesabaran menunggu kejayaan hasil daripada usaha yang dilakukan merupakan faktor yang penting demi untuk mengelakkan diri kita daripada merasa bosan atau berputus asa.

Sesungguhnya keazaman itu harus ada pada diri kita agar semangat dalaman akan sentiasa membara di jiwa ke arah pengumpulan kekuatan dalaman serta membentuk tindakan yang berfaedah untuk memberi kesempurnaan dalam kehidupan kita.

SANTAPAN MINDA Oleh DR. ISMAIL ZAIN (drismailzain@yahoo.com)

Share this article :
 
Penafian: Maktab Mahmud Merbok tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh
penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini !
Support : MMMK |Cara Gampang | Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. MAKTAB MAHMUD MERBOK - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Modify by CaraGampang.com and MMMK
Proudly powered by Blogger