RAMADHAN
Detik nafasmu adalah ibadah. Tidur rehatmu adalah ibadah. Apa lagi dengan bertadarus, menyantuni anak yatim, menyempurnakan silaturrahim, membela golongan tertindas, bersedekah, memuliakan ibu bapa, mengasihi orang tua, membantu golongan tidak berupaya, menyediakan bahan berbuka, selain berdoa dan memanjangkan sujud, serta menghidupkan malam dengan munajat dan taubat selepas bertarawih, sementara menanti malam seribu bulan.
Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat merenggut kelazatan dunia, iaitu mati. Rasulullah pernah ditanya tentang orang Mukmin yang paling mulia, maka jawabnya adalah orang yang paling baik akhlaknya.
Ditanya lagi, orang Mukmin mana yang paling beruntung atau cerdas, maka jawab baginda, mereka yang paling banyak mengingati mati dan mempunyai bekal yang banyak untuk menghadapi kematian.
Ramadan menjanjikan gandaan pahala, menghaluskan jiwa dan mendorong untuk melakukan amalan kebajikan. Manakala mengingati kematian menyebabkan seseorang menyegerakan taubat, rendah hati dan rajin beribadah. Namun Ramadan bukan pula membungkus seseorang dengan aktiviti individualistik semata.
Khidmat buat masyarakat, menarik tangan masyarakat bawahan yang tertekan, terutama dalam kesempitan hidup yang menggigit ini; semuanya perlu ditingkatkan setulusnya, sebagai satu persembahan agung buat Ilahi. Sesungguhnya Allah amat mencintai makhluk yang paling penyayang pada makhluk yang lain, yang paling bersungguh-sungguh dalam memenuhi keperluannya. Usah terlepas lagi daripada merangkul kenikmatan Ramadan yang sangat istimewa itu.
Pesan saya buat diri yang sangat mudah terleka ini.
Sedutan dari tulisan: Ahmad Lutfi Othman (Kematian dan Ramadan) http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=16744&Itemid=1
1 comment
Qvale
Post a Comment