Kelebihan membaca Surah al-Kahfi
Dr Mohd Murshidi Mohd Noor
Sesiapa yang mengamalkan membaca Surah al-Kahfi pada setiap malam
Jumaat, itu adalah amalan yang baik dan dituntut.
Kemungkinan masyarakat Melayu di Nusantara konsisten mengamalkan membaca
Surah Yasin pada setiap malam Jumaat secara berjemaah memandangkan surah itu
lebih pendek berbanding surah al-Kahfi.
Selain itu, bacaan Surah Yasin apabila dibaca secara tartil (tertib dan
mengikut hukum tajwid) akan selesai dalam tempoh yang sesuai iaitu sebelum
masuk waktu Isyak.
Berbanding bacaan Surah al-Kahfi, jika dibaca beramai-ramai serta dengan
bacaan tartil, kemungkinan ia mengambil masa lama dan membebankan sebahagian
orang yang ada urusan tertentu kerana surah itu agak panjang.
Surah Yasin adalah ‘jantung al-Quran’ dan terdapat kelebihan bagi
sesiapa yang membacanya manakala Surah al-Kahfi seeloknya dibaca secara
individu kerana setiap orang mempunyai masa lapang yang berbeza.
Maka, Surah al-Kahfi boleh saja dibaca secara bersendirian di rumah bagi
menghidupkan amalan sunah. Ia bertepatan dengan hadis lain yang menyarankan
kita agar menghidupkan amalan sunah di rumah.
Pada malam Jumaat atau hari Jumaat memang disunatkan kita membaca Surah
al-Kahfi berdasarkan hadis sahih daripada Nabi SAW antaranya, “Barang siapa
membaca al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya cahaya akan meneranginya antara
dirinya hingga ke Baitul Atiq (Kaabah).” (Riwayat ad-Darimi)
Islam amat mementingkan sesuatu amalan itu dilakukan secara istiqamah
walaupun ia dilihat ringkas dan sederhana.
Masa yang Allah SWT berikan cukup luas untuk kita mendapatkan kurnia dan
rahmat-Nya.
Semoga kita mendapat rahmat dan reda Allah SWT dengan sentiasa
menghidupkan amalan sunah yang diajarkan oleh ulama dengan kefahaman yang tepat
dan bersesuaian dengan syarak.
Kedua-dua surah itu antara surah yang terdapat dalam al-Quran.
Membaca al-Quran adalah satu ibadat dan diberikan ganjaran pahala yang
besar.
Umat Islam sentiasa digalakkan untuk melazimi membaca al-Quran tidak
kira masa atau tempat.
Daripada Abdullah bin Mas’ud, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu
kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang
semisal dengannya. Aku tidak mengatakan ‘Alif Laam Miim’ satu huruf akan tetapi
Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.” (Riwayat al-Tirmizi)
Penulis Pengurus Bahagian Pengurusan Zakat, Wakaf dan Endowmen Jabatan
Strategik dan Pembangunan Perniagaan Universiti Utara Malaysia
Artikel ini disiarkan pada :
Khamis, 14 Februari 2019 @ 9:57 AM
No comments
Post a Comment