السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ/Selamat Datang ke Blog Rasmi MMMK

MEMBACA MENAMBAH ILMU

Tuesday, March 29, 20110 comments

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

ALLAH SWT menghilangkan kesukaran yang dihadapi Rasulullah SAW ketika berhadapan dengan Jibril AS dan memerintah dengan berkata: “Bacalah!” Lalu Baginda menjawab: “Aku tidak boleh membaca!”

Lantas Allah SWT berfirman yang bermaksud: Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah.

Al-Maraghi berkata: “Laksanakan membaca yang Aku perintahkan itu! Perintah membaca ini diulang-ulang, kerana membaca hanya dapat dicapai oleh seseorang dengan mengulangkaji. Ulangan perintah ini menunjukkan perlunya apa yang dibaca itu diulangi berkali-kali.”

Oleh itu, membaca menunjukkan bakat Nabi Muhammad SAW, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Kami sentiasa menjadikan Engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (al-Quran yang diturunkan kepadamu dengan perantaraan Jibril), sehingga Engkau (menghafaznya dan) tidak lupa.

Tuhanmu Maha Pemurah terhadap setiap orang yang mengharapkan pemberian-Nya. Oleh sebab itu, mudah bagi Allah SWT mengurniakan kebolehan membaca al-Quran kepadamu.

Kemudian, Allah SWT menjelaskan lagi keterangan menerusi firman-Nya yang bermaksud: Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.

Tuhan Yang Maha Pemurah itu juga menjadikan qalam sebagai alat yang dapat memberi kefahaman sesama manusia meskipun berjauhan, sebagaimana memahamkan mereka dengan perantaraan lisan.

Qalam adalah benda yang tidak berjiwa dan tidak mempunyai kekuatan untuk memberikan pengertian.

Oleh sebab itu, apakah ada kesulitan bagi Tuhan yang membuat benda mati lagi diam menjadi alat untuk memberi pengertian, penjelasan dan menjadikan kamu orang yang boleh membaca serta mengajar kerana kamu telah menjadi manusia yang sempurna?

Tuhan menyifatkan sendiri penciptaan manusia yang terbentuk daripada segumpal darah serta mengajarnya dengan perantaraan qalam. Semua ini bertujuan menerangkan keadaan yang sebenar.

Allah SWT mencipta manusia daripada bahan yang hina dan seterusnya membentuk manusia yang sempurna.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Renunglah wahai manusia bagaimana peringkat perpindahan kamu dari sehina-hina kejadian kepada martabat yang paling tinggi.

Ini membuktikan kewujudan pentadbir yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.

Sayid Qutub berkata: “Di samping menjelaskan hakikat penciptaan manusia, ayat itu juga menjelaskan hakikat mengajar, iaitu bagaimana Allah SWT mengajar manusia dengan pena, kerana pena selama-lamanya merupakan alat mengajar yang paling luas dan paling mendalam kesannya dalam kehidupan seharian manusia.”

Pada ketika itu, hakikat peranan pena belum lagi jelas seperti yang kita ketahui dalam kehidupan manusia sekarang. Tetapi Allah SWT amat mengetahui nilai pena.
Sebab itulah Dia menyebutkannya pada detik pertama kemunculan agama yang terakhir bagi umat manusia dan pada surah yang pertama dari surah-surah yang terkandung di dalam al-Quran.

Namun begitu, Rasulullah SAW sendiri bukanlah seorang yang pandai menulis dengan pena.
Oleh yang demikian, andainya al-Quran itu bukanlah wahyu daripada Allah, malah perkataan yang dikarang oleh baginda, sudah tentu baginda tidak akan menonjolkan hakikat peranan pena itu pada detik pertama dakwahnya.

Hakikat ini sudah tentu tidak tertonjol seandainya al-Quran itu bukannya wahyu dan utusan daripada Allah SWT.

Seterusnya, Allah SWT menjelaskan perkara ini dengan huraian yang lebih lanjut tentang pelbagai nikmat yang dikurniakan melalui firman-Nya yang bermaksud: Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Sumber:e-pondok
Share this article :
 
Penafian: Maktab Mahmud Merbok tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh
penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini !
Support : MMMK |Cara Gampang | Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. MAKTAB MAHMUD MERBOK - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Modify by CaraGampang.com and MMMK
Proudly powered by Blogger