Ibadat dianggap tidak berkualiti jika diamalkan tanpa ilmu
(Gambar Kenangan) Sebahagian Aktiviti MMMK 08
SETIAP Muslim harus mengakui dengan keyakinan yang mantap di hati bahawa penciptaan manusia di muka bumi ini bertujuan mengabdikan diri semata-mata kepada-Nya dan hakikat itu perlu diterima penuh keimanan. Allah menegaskan matlamat, penciptaan manusia di dunia dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." (Surah Az-Zariyat, ayat 56). Ini membuktikan kedudukan ibadat penting dan tidak boleh diabaikan oleh Muslimin serta Muslimat. Tidak dinafikan ibadat adalah tunjang kepatuhan manusia kepada Allah yang didorong keimanan kental dengan cara mentaati sepenuh hati segala perintah-Nya dan selalu berusaha menjauhi larangan-Nya. Namun, perlu diingat untuk melaksanakan amal ibadat kepada-Nya, harus memiliki ilmu serta petunjuk disampaikan Rasulullah SAW kerana ilmu dan amal tidak boleh dipisah atau diasingkan. Imam Al-Ghazali pernah menuturkan: “Seluruh manusia dalam kebinasaan kecuali orang berilmu. Orang berilmu pun akan binasa kecuali yang mengamalkan ilmunya.” Imam Al-Hasanul Basri juga tidak ketinggalan mengeluarkan pandangannya menyentuh ilmu dan amal iaitu: “Tuntutlah ilmu, tapi tidak melupakan ibadat dan kerjakan ibadat tapi tidak boleh lupa pada ilmu.” Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Ilmu itu imamnya amal, sedangkan amal makmumnya.” Di sini jelas dengan ilmu, seseorang dapat mengenal Allah termasuk segala ciptaan-Nya, nama-Nya dan sifat-Nya yang sempurna. Jika tidak kenal Allah, bagaimana mungkin seseorang boleh melakukan ibadah?
Link kat sini
No comments
Post a Comment