Bersangka baik terhadap ujian daripada Allah
TAHUN 2020 sudah meninggalkan kita dengan 1,001 coretan kenangan dan
ujian kepada semua dan pastinya setiap yang berlaku itu adalah untuk kita
memahami serta mengambil iktibar.
Setiap yang berlaku di dunia ini adalah dengan keizinan Allah SWT dan
pastinya ada hikmah yang diperoleh daripada ujian ini.
Sepanjang 2020, perkataan yang paling popular adalah pandemik Covid-19
dan sebagai orang yang beriman dengan setiap ketentuan Allah SWT pastinya kita
menerima ujian itu dengan reda serta berlapang dada.
Firman Allah SWT bermaksud: "Dan boleh jadi kamu benci kepada
sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu
padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui
(semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." Surah al-Baqarah, ayat 216
Tidak dapat dinafikan sepanjang tempoh setahun yang lalu setiap
peringkat manusia menghadapi ujian dengan pelbagai bentuk.
Ada yang kehilangan pekerjaan, ada juga dipotong gaji dan hilang mata
pencarian untuk keluarga. Ujian berkenaan memang berat, namun usah kita
berkeluh-kesah dengan ketentuan Allah SWT.
Ujian yang melanda kita pada hari ini adalah sebahagian daripada
'peperiksaan' untuk menilai tahap keimanan kepada Yang Maha Esa. Kita acap kali
menzahirkan ucapan bahawa 'kita beriman kepada Allah SWT', namun apabila ujian
menimpa, kita berkeluh-kesah, menyalahkan takdir, nauzubillah.
Firman Allah SWT bermaksud: "Patutkah manusia menyangka mereka akan
dibiarkan dengan hanya berkata: 'Kami beriman' sedang mereka tidak diuji
(dengan sesuatu cubaan)?
"Dan demi sesungguhnya! Kami menguji orang yang terdahulu daripada
mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah
tentang orang yang sebenar-benarnya beriman serta nyata pula apa yang
diketahui-Nya mengenai orang yang berdusta." Surah al-Ankabut, ayat 2 dan 3
Jika ada dalam kalangan kita yang sering berkata, 'mengapa aku diuji,
mengapa bukan orang lain, mengapa aku...' dan terus-terusan dengan pelbagai
persoalan, jawapannya ada dalam dua ayat daripada Surah al-Ankabut berkenaan.
Ayat itu menjelaskan ujian itu diberikan Allah kepada hamba-Nya untuk
menilai sejauh mana tahap keimanan mereka sedang mereka sering menzahirkan
ucapan 'beriman' berkenaan.
Mungkin ada juga dalam kalangan kita yang rasa kecewa dengan takdir atau
ketentuan yang sedang dihadapi pada hari ini, contohnya mungkin kehilangan
pekerjaan dan masih gagal menemukan pekerjaan baharu. Ketahuilah Allah sedang
menguji kita dan pastinya perancangan Allah SWT adalah sempurna serta terbaik.
Jika kita kecewa dengan keadaan yang dihadapi, beberapa ayat al-Quran
ini mengajar kita untuk terus cekal dan sentiasa reda dengan takdir.
Firman Allah SWT bermaksud: "Dan janganlah kamu rasa lemah (dalam
perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita
(terhadap apa yang akan menimpa kamu) padahal kamulah orang yang tertinggi
(mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang yang
sungguh-sungguh beriman." Surah ali Imran,
ayat 139
Semua ujian yang kita hadapi hari ini pastinya berlaku atas keizinan
Allah SWT dan sebagai hamba yang menzahirkan keimanan, pasti perlu sentiasa
bersangka baik dengan setiap ujian yang mendatang.
Sesungguhnya hanya kepada Allah jualah kita meletakkan pengharapan dan
berdoa.
Firman Allah SWT dalam Surah at Taubah,
ayat 129 bermaksud: "Kemudian jika mereka berpaling ingkar, katakanlah
(wahai Muhammad): "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku),
tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri
dan Dia yang mempunyai Arasy yang besar."
Allah SWT juga menyeru golongan yang melampaui batas terhadap diri
mereka sendiri supaya tidak berputus asa dengan rahmat dan pengampunan-Nya.
Firman Allah dalam Surah al-Zumar ayat
53 yang bermaksud "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai
hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan
maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya
Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun
lagi Maha Mengasihani."
Setiap insan berpeluang memperbaiki diri sebagaimana seorang pekerja
berpeluang memperbaiki prestasi kerjanya untuk tahun yang mendatang.
Untuk itu, sudah menjadi kewajipan kita sebagai hamba-Nya untuk sentiasa
mengharapkan rahmat daripada Allah SWT dan tidak berkeluh-kesah apatah lagi
menyalahkan takdir atas apa yang berlaku.
Firman Allah SWT bermaksud: "Allah tidak memberatkan seseorang
melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang
diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka
berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengira kami
salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan
kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang Engkau bebankan kepada orang
terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada
kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Maafkanlah kesalahan kami dan
ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong
kami, oleh itu tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum yang
kafir." Surah al-Baqarah, ayat 286
Penulis wartawan Harian Metro
Artikel ini disiarkan pada :
Selasa, 5 January 2021 @ 4:40 AM
1 comment
Saya selalu rasa cukup bahagia apabila diberi ujian daripada Allah.. sememangnya ada impak positif untuk hidup saya
Post a Comment