4 pelajar MRSM cipta robot pertanian menang emas pertandingan a'bangsa
Empat pelajar Maktab
Rendah Sains Mara (MRSM) mengharumkan nama negara apabila merangkul dua pingat
emas dalam pertandingan International Robot Olympiad (IRO) 2019 di Chiang Mai,
Thailand pada 15 hingga 20 Dis lepas.
Menurut kenyataan Majlis Amanah Rakyat (Mara)
hari ini, pelajar MRSM Bentong Ahmad Muqry Hasni dan Nur Ain Balqis Mohd Razuan
memenangi emas dalam acara kreatif bertemakan Robot: Agricultural
Revolution (Robot: Revolusi Pertanian).
“ Robot binaan mereka dinamakan Dr Plant dan
dapat mengenal pasti pokok perosak serta menghapuskan pokok perosak tersebut
dengan menggunakan semburan racun,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ziyad Azhar dan Hana Humaira
Wan Hasnan daripada MRSM Kota Putra pula merangkul pingat emas bagi acara Robot
in Movie (Robot Dalam Filem). Mereka menghasilkan video dengan sub
tema Vital Monitoring (Pemantauan Penting) kepada tema utama.
Video tersebut memerlukan mereka merangka
jalan cerita serta menggunakan robot dan peralatan serta menguji kepakaran
peserta dalam proses suntingan dan kesan khas.
Menurut kenyataan itu lagi, Mara turut
memenangi satu pingat perak, satu pingat gangsa dan satu anugerah teknikal.
Wakil Mara bersaing dengan pelajar daripada14
negara antaranya Korea Selatan, China, Singapura, Filipina, New Zealand, Mesir,
Indonesia dan Thailand, dengan keseluruhan penyertaan pada pertandingan itu
lebih 800 orang.
“Kontinjen Malaysia seramai 66 orang terdiri
daripada 51 pelajar, 14 guru dan seorang pegawai merangkap ketua kontinjen
daripada Bahagian Pendidikan Menengah.
“Mara komited dalam menyumbang kepada
penghasilan modal insan dalam bidang robotik dan teknologi kepintaran buatan
seiring dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0),” menurut kenyataan itu.
- Bernama
No comments
Post a Comment