Kebaikan 'kurikulum' ajaran Islam
Ilmuwan Islam, Al-Mawardi pernah berpesan, “Sesiapa yang berbuat baik
dengan orang, dia akan beroleh kebaikan. Sesiapa yang menyakiti orang lain,
hanya akan beroleh penyesalan.”
Ringkas saja pesanan itu, tetapi ia mengandungi makna yang cukup
bermakna. Pesanan al-Mawardi itu selaras tuntutan Islam yang mengajar umatnya
sentiasa melakukan kebaikan kepada insan lain.
Rasa dan semangat kekitaan adalah antara ‘kurikulum’ ajaran Islam buat
seluruh umatnya.
Islam tidak meletakkan amalan atau perbuatan secara individu, sebaliknya
lebih terarah kepada bentuk landskap dan ekosistem kemasyarakatan yang saling
melakukan kebaikan sesama manusia.
Selain itu, Imam al-Baihaqi dan at-Tabrani ada meriwayatkan sebuah hadis
yang panjang untuk kita hayati bersama.
Abu Zar menceritakan, beliau bertanya kepada Baginda SAW, “Wahai
Rasulullah, apakah yang menyelamatkan seseorang hamba daripada api neraka?”
Jawab Baginda: “Beriman dengan Allah.” Lalu Abu Zar bertanya lagi,
“Wahai Nabi Allah, sesungguhnya amal perlu bersama dengan iman?”
Rasulullah menjelaskan: “Hendaklah dibelanjakan apa yang dikurniakan
Allah.”
Kemudian Abu Zar menyambung lagi pertanyaan: “Wahai Rasulullah, apa
pandangan tuan, kalau seseorang itu fakir dan tidak mempunyai sesuatu yang
boleh dibelanjakan?”
Jawab Rasulullah: “Hendaklah menyuruh yang makruf dan mencegah yang
mungkar.” Beliau bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, bagaimana kalau dia
mempunyai kecacatan yang menyebabkannya tidak dapat menyuruh yang makruf dan
mencegah yang mungkar?”
Baginda bersabda, “Bantulah orang yang bodoh.” Siri pertanyaan dengan
Baginda SAW, Abu Zar sambung lagi dengan bertanya, “Bagaimana kalau dia sendiri
orang yang bodoh yang tidak boleh melakukan apa-apa?” Baginda tetap tenang
melayan pertanyaan Abu Zar dengan menjawab, “Hendaklah menolong orang-orang
yang tertindas.”
Tidak cukup dengan itu, Abu Zar ajukan lagi persoalan, “Bagaimana pula
kalau dia seorang yang lemah yang tidak dapat membantu orang yang tertindas?”
Jawab Baginda: “Adakah kamu tidak ingin meninggalkan sesuatu kebaikan
kepada saudaramu, buanglah sesuatu yang menyakitkan yang datang daripada orang
ramai.”
Akhir sekali Abu Zar bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah jika seseorang
berbuat demikian akan masuk syurga?”
Baginda tegaskan, “Tidak ada seorang Islam yang melakukan salah satu
daripada sifat-sifat yang dinyatakan itu, melainkan sifat itu akan membimbing
tangannya ke syurga.”
Terdapat banyak pengajaran dalam kisah Abu Zar bersama Rasulullah. Sesi
pertanyaan itu membuktikan betapa indahnya pedagogi atau kaedah penyampaian
ajaran Islam yang diberikan Rasulullah.
Baginda terbuka memberikan ruang dan peluang buat sahabatnya bertanyakan
apa sahaja yang terbuku di hati.
Lihat bagaimana Baginda melayan soalan demi soalan yang diajukan
kepadanya tanpa memperli, jauh sekali berasa bosan dengan kerenah sahabatnya.
Sebaliknya, Abu Zar jelas menunjukkan ciri-ciri umat Islam yang sentiasa
inginkan ilmu. Tanpa segan silu beliau mengajukan apa sahaja persoalan yang
tersimpan di hati untuk dikemukakan kepada Rasulullah.
Sikap Rasulullah menjawab pelbagai soalan daripada sahabatnya itu
mengajar kita sebagai ibu bapa atau pendidik supaya tidak cepat bosan dengan
pertanyaan anak-anak atau anak didik di dalam kelas.
Bahagian terpenting dalam penyampaian hadis itu adalah menyentuh perkara
melakukan kebaikan.
Sehubungan itu, rebut peluang ketika hidup ini untuk berbuat amal soleh.
Ingat pesanan Rasulullah yang mahukan umatnya memanfaatkan lima waktu
sebelum datangnya lima waktu lain.
Sabda Baginda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima
perkara. Masa muda kamu sebelum datang masamu, masa sihat kamu sebelum
datangnya masa sakit, masa kaya sebelum datangnya masa miskin dan masa hidupmu
sebelum datang masa mati.” (Hadis riwayat
al-Hakim)
Pesanan Baginda akan kekal relevan sepanjang masa. Usah menunggu masa
pencen atau berstatus warga emas baru bersemangat dan bersungguh-sungguh
berbuat kebajikan.
Allah mengingatkan kita menerusi firman-Nya dalam surah Yasin, ayat 68 yang bermaksud: “Dan (hendaklah diingat
bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya
(kepada keadaan serba lemah, hakikat ini memang jelas), maka mengapa mereka
tidak mahu memikirkannya.”
Justeru, kita perlu melembutkan hati untuk melakukan perbuatan baik pada
setiap masa dan sentiasa bersemangat menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang
memerlukan pertolongan.
Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang
Artikel ini disiarkan pada :
Selasa, 15 January 2019 @ 2:47 PM
Sumber: https://www.hmetro.com.my/addin/2019/01/412309/kebaikan-kurikulum-ajaran-islam
No comments
Post a Comment