Tahun demi tahun
melalui alam persekolahan sehinggalah berakhir di menara gading, kemudian
menggenggam segulung ijazah dan itulah lambang pencapaian tertinggi buat diri
kita dalam bidang akademik.
Kini, alam
persekolahan sudah lama ditinggalkan. Namun, jangan lupakan guru yang pernah
berjasa kepada diri kita.
Ingatlah, jasa dan
sumbangan mereka yang berkorban menjadikan diri kita seorang ‘manusia’ yang
berjaya pada hari ini.
Sesekali apabila
tibanya tarikh 16 Mei setiap tahun, kita seolah-olah terpanggil untuk mengenang
kembali sumbangan guru. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang sudahpun tiada
lagi di dunia ini.
Seandainya ada guru
kita dulu kini sudah pencen dan bergelar warga emas, ziarahilah mereka untuk
bertanya khabar dan menzahirkan ucapan terima kasih.
Mungkin kini kita
sudah berkeluarga dan mempunyai anak yang sedang belajar di peringkat
pra-sekolah, sekolah rendah, mahupun sekolah menengah.
Didiklah mereka supaya
bersopan santun terhadap guru. Perkara itu sangat penting kerana keberkatan
ilmu itu hadir bersama- sama sikap beradab.
Tanpa adab dan
kesantutunan, sebarang pencapaian yang diperoleh tidak akan mendapat keberkatan
di sisi Allah SWT.
Contohilah Imam
asy-Syafi’i . Ketika masih belajar, beliau begitu memberi perhatian serius
terhadap adab kepada gurunya.
Beliau tidak
sewenang-wenangnya berkelakuan yang boleh menghiris perasaan gurunya.
Dikisahkan pada satu
hari, Imam asy-Syafi’i ditegur seseorang lantaran sikapnya yang sangat merendah
diri terhadap ulama (guru).
Dengan tenang beliau
memberitahu menerusi syair yang dikarangnya, ‘Patutkah diriku ini bersikap
lebih kurang terhadap ulama?
‘Sedangkan mereka sudi
memuliakan diriku. Ingatlah! sekali-kali tidak akan dimuliakan diri yang ego yang
tidak mahu merendahkannya.’
Begitulah prinsip yang
menjadi pegangan dalam diri seorang penuntut ilmu yang hebat.
Demikian juga satu
lagi kisah betapa orang terdahulu sangat menjaga adab dan kesantunan terhadap
guru. Kisah itu berlaku pada Ibnu Abbas dan Zaid bin Tsabit.
Pernah satu hari, Ibnu
Abbas mengambil tali kenderaan yang dinaiki Zaid bin Tsabit dan berkata,
”Demikianlah kami disuruh oleh syarak untuk melayani ulama kami.”
Seketika kemudian,
Zaid turun daripada kenderaannya lalu mengucup tangan Ibnu Abbas lalu berkata:
“Demikianlah juga kami disuruh melayani ahli keluarga Nabi kami SAW.
“Semoga Allah SWT
melimpahkan taufik-Nya untuk kita semua.”
Ketika Imam
asy-Syafi’i menuntut ilmu dahulu, beliau seorang anak murid yang sangat beradab
dan santun terhadap gurunya.
Allah SWT membalas
atas dunia lagi amalan baik itu kepada Imam asy-Syafi’i. Ketika beliau bergelar
seorang guru dan mempunyai anak murid yang ramai, beliau sangat dihormati.
Seorang anak muridnya
bernama ar-Rabi’ pernah berkata, “Demi Allah. Aku tidak berani meneguk air
sedangkan guruku Imam asy-Syafi’I melihat keadaanku.”
Demikian jugalah sikap
beradab dan santun seorang ulama tersohor dalam bidang fiqah iaitu Imam Abu
Hanifah.
Rumah beliau dengan
rumah gurunya, Hammad jaraknya berselang tujuh lorong. Namun, beliau begitu
mengambil berat soal adab dan penghormatan terhadap gurunya itu.
Kata Imam Abu Hanifah,
“Aku tidak mengunjurkan kakiku ke arah rumah guruku, Hammad. Hal itu kerana
rasa hormatku terhadapnya.”
Betapa tinggi perasaan
dan sikap hormat terhadap guru yang terserlah oleh orang terdahulu. Mungkin
itulah antara faktor mengapa mereka begitu berjaya dengan ilmu mereka sehingga
bergelar ulama terbilang dalam bidang masing-masing.
Itulah keberkatan dan
reda daripada Allah SWT. Justeru, kita perlu bermuhasabah untuk melihat kembali
diri bagaimanakah sikap kita terhadap guru kita dulu.
Malah, kita wajib
mendidik anak kita supaya tidak berkelakuan biadab terhadap guru. Insya-Allah,
anak kita bukan saja mampu menjulang tinggi pencapaian ilmu, tetapi sentiasa
mendapat berkat.
Mohd Rizal Azman Rifin
Penulis Pensyarah
Politeknik Muadzam Shah, Pahang
Sumber: https://www.hmetro.com.my/addin/2018/05/339743/dian-bernama-guru
No comments:
Post a Comment