Baru-baru ini, ada individu Muslim
mengutarakan pandangan peribadi nya mengenai bahasa Arab. Menurutnya, bahasa
Arab tidak mempunyai nilai sebagai bahasa ilmu kecuali yang berkaitan bidang
agama.
Beliau secara terang-terangan menyatakan bahasa Arab terbantut
kemajuannya dalam bidang ilmu dan profesional.
Pandangan individu itu
perlu diperbetulkan supaya masyarakat khususnya umat Islam tidak terpengaruh
dengan pandangannya yang tidak benar itu.Bahasa Arab mempunyai
kedudukan istimewa dalam Islam. Ia dipilih menjadi bahasa pengantara bagi
membawa mesej Islam.
Selain itu, semua amal
ibadat tidak terlepas daripada penggunaan bahasa Arab, malah menjadi syarat
sesuatu ibadat itu diterima seperti solat dan haji.
Al-Quran adalah kitab
suci umat Islam yang diturunkan dalam bahasa Arab. Pemilihan bahasa Arab
dilihat sebagai satu pengiktirafan besar kerana ia membantu ilmuwan memahami
dan menjelaskan maksud suruhan dan tegahan daripada Allah SWT.
Tuntutan mempelajari
bahasa Arab tidak hanya yang menjurus kepada tujuan akademik, malah ia menjadi
satu keperluan bagi masyarakat awam beragama Islam.
Allah SWT menjelaskan
pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran menerusi firman-Nya yang
bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca
dengan bahasa Arab supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.” (Surah
Yusuf, ayat 2)
Dalam ayat lain, Allah
berfirman yang maksudnya: “Dan demikianlah Kami menurunkan al-Quran sebagai
hukum dalam bahasa Arab.” (Surah al-Ra’d, ayat 37)
Bahasa Arab bukan
sesuatu yang janggal dalam kehidupan masyarakat Melayu. Jika disoroti sejarah
perkembangan bahasa Arab, ia mula masuk ke alam Melayu sejak kurun pertama
Hijrah iaitu selaras dengan penerimaan masyarakat Melayu terhadap Islam.
Proses penyebaran
Islam oleh pedagang Arab banyak mengubah kehidupan masyarakat Melayu ketika itu
meliputi aspek kepercayaan, ekonomi, perundangan, pendidikan, kebudayaan dan
kemasyarakatan.
Perubahan itu turut
membabitkan proses pembelajaran bahasa Arab. Ia berkembang secara aktif sebagai
bahasa kepada agama Islam dan bahasa untuk memahami Islam dan menunaikan
ibadat.
Selain itu, pengaruh
bahasa Arab memartabatkan bahasa Melayu sehingga mencapai status bahasa ilmu.
Antara pengaruh
terbesar bahasa Arab dalam bahasa Melayu ialah peminjaman kosa kata Arab yang
seterusnya diterima pakai dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu.
Perkataan seperti doa,
wali, ajal, hidayah, takwim, tarikh, insan, jasad, arif, zikir, akad, fakir,
fitnah, karib, kerabat, maaf, maruah, musafir, sedekah, tahniah, takziah, umat,
waris, ziarah, adat, darjat dan ghaib adalah perkataan berasal daripada bahasa
Arab.
Proses pengajaran dan
pembelajaran bahasa Arab terus mengalami perkembangan positif di Tanah Melayu
bermula dari institusi pondok dan madrasah pada abad ke-18 Masihi.
Proses perkembangan
yang amat baik itu terus berlangsung sehingga kini. Pengajaran dan pembelajaran
bahasa Arab sudah bermula seawal sekolah rendah lagi.
Bagi peringkat tinggi,
banyak institusi pengajian tinggi awam menawarkan program pengajian bahasa
Arab.
Bagi masyarakat awam
beragama Islam, pembelajaran bahasa Arab menjadi satu keperluan bagi
memperbaiki mutu ibadat yang dilakukan.
Apabila menguasai
bahasa itu, setiap bacaan dalam solat akan mudah difahami. Keseluruhan ibadat
solat adalah satu doa permohonan kita kepada Allah SWT.
Kita perlu faham apa
yang kita hajat dan doakan. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa saja
ragu-ragu terhadap penerimaan Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya.
Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa daripada jantung hati yang
lalai dan alpa.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi)
Usaha pihak yang cuba
menyempitkan bahasa Arab hanya membabitkan bidang ilmu agama semata-mata perlu
diperbetulkan.
Lihatlah cendekiawan
Islam seperti Ibn Rushd, Ibn Sina, Ibn Khaldun, Ibn Bajjah, al-Zahrawi, Ibn
al-Nafis, Jabir bin Hayyan, al-Khawarizmi, al-Mas’udi dan lain-lain meneroka
pelbagai bidang ilmu tanpa meninggalkan sumber al-Quran dan al-Hadis.
Karya mereka yang
ditulis dalam bahasa Arab perlu diterokai bagi merungkai bidang ilmu yang
dikaji termasuk bidang sains, sejarah, falsafah, undang-undang, perubatan,
keagamaan, kesusasteraan dan sebagainya.
Justeru, pandangan
jumud sesetengah pihak mengenai bahasa Arab perlu diperbetulkan bagi mengelak
masyarakat terpengaruh dengan pandangan sempit dan merugikan.
Pendidikan bahasa Arab
perlu terus diperkasakan di Malaysia bagi melahirkan lebih ramai sarjana dan
cendekiawan Islam.
Siapa lagi yang perlu
diharapkan untuk memperjuangkan pendidikan bahasa Arab melainkan kita semua
yang menyayangi Islam dan bahasa agama ini.
Penulis pensyarah
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu
Sumber : https://www.hmetro.com.my/addin/2018/07/358285/wajar-tahu-bahasa-arab
No comments:
Post a Comment