Wednesday, September 16, 2009

Lulusan STAM layak ke IPTA

PUTRAJAYA 15 Sept. - Semua lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang berkelayakan kini boleh diterima masuk ke semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai sesi pengajian akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkembangan tersebut ekoran keputusan terbaru Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengiktiraf sijil STAM setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

''STAM sudah diterima oleh JPA, jadi mereka boleh terus masuk (universiti) setaraf dengan STPM, ini satu pengumuman yang baik.

''Sebelum ini mungkin timbul masalah, jadi telah diteliti dan diperakukan, mereka yang mendapat sijil itu boleh masuk ke universiti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusi mesyuarat hala tuju pendidikan Islam bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom di pejabatnya di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, sebelum ini, sesetengah universiti awam tidak dapat menerima lulusan STAM ekoran masalah ketiadaan pengiktirafan JPA.

''Biasanya hendak masuk universiti adalah melalui kelayakan STPM dan matrikulasi, makna sekarang dengan pengiktirafan itu, mereka mempunyai kelayakan untuk memasuki IPTA.

''Ini membabitkan semua IPTA yang menawarkan kursus pengajian Islam atau gandingan pengajian Islam dengan kursus lain seperti ekonomi dan sebagainya.

''Kurikulum kita adalah bagi melahirkan pelajar Islam yang mempunyai potensi sama ada dalam sistem pelajaran dan jaminan peluang kerja," katanya.

Katanya lagi, selaras dengan pengiktirafan itu, lulusan STAM yang diterima masuk ke IPTA layak menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment